Seorang pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah
di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini terhadap pertuduhan mencabul dan
melakukan seks luar tabii terhadap seorang pelajar kolej, minggu lepas.
Mohammad Nazri Mohd Damin, 28, didakwa menggunakan kekerasan jenayah
terhadap gadis berusia 17 tahun 11 bulan itu dengan niat hendak mencabul
kehormatannya dan melakukan seks luar tabii di dalam tandas Orang
Kelainan Upaya (OKU) di Bangunan Times Square, Jalan Imbi di sini pada 6
petang, 17 Jun lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan
hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau dengan
mana-mana dua daripada seksaan itu dan Seksyen 377C kanun sama yang
membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit
kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Henry Tan tidak menawarkan sebarang
jaminan kerana kesalahan yang dilakukan tertuduh amat berat membabitkan
jenayah seksual.
Namun, peguam Mohd Shamril Afzan Mohamed Hasim memohon anak guamnya
diikat jamin dengan alasan tertuduh menanggung keluarganya dan tidak
mengenali mangsa.
Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid membenarkan tertuduh diikat jamin
RM10,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan berserta
syarat tambahan yang tidak membenarkan tertuduh, keluarga dan rakan
menghubungi mangsa serta perlu melapor diri di balai polis berhampiran
pada hari Jumaat setiap minggu.
Mahkamah menetapkan 25 Julai untuk sebutan. – Bernama
No comments:
Post a Comment