Wednesday, 5 June 2013

BUKAN MASA UNTUK BERPOLITIK LAGI.


Penjawat awam yang masih berpolitik akan dikenakan tindakan berdasarkan peraturan, pekeliling dan undang-undang yang termaktub di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa Selasa.

Beliau berkata semua ketua jabatan diminta memantau dan mengambil tindakan atau melaporkan kepada JPA sekiranya masih terdapat penjawat awam yang masih berpolitik terutamanya di media sosial.

Katanya tempoh berpolitik sudah tamat sebaik sahaja keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 diketahui, dan kini tibalah masa untuk penjawat awam menjadi tonggak pentadbiran negara ke arah menjayakan agenda transformasi negara.

"Sekarang, masa kakitangan awam untuk bergerak ke hadapan dan meneruskan usaha-usaha agenda transformasi nasional dengan kadar segera," katanya kepada pemberita selepas menutup Persidangan Tahunan Persatuan Suri dan Anggota Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) 2013 di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam yang meminta rakyat termasuk penjawat awam supaya tidak terbabit dalam politik berlebihan kerana menyebabkan masa terbuang untuk negara maju ke hadapan.

Ketua Setiausaha Negara berkata penjawat awam kini perlu berfikir ke hadapan, iaitu lebih produktif dalam mengoptimumkan penggunaan sumber-sumber terhad, lebih cepat dalam membuat keputusan dan tepat dalam merangka dasar atau program demi kepentingan rakyat.

Katanya, penjawat awam juga perlu mempunyai integriti, kreatif and inovatif dalam menggunakan pelbagai pendekatan untuk meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam, termasuk menggunakan saluran media sosial dalam menyampaikan maklumat mengenai dasar-dasar awam kerajaan.

Ditanya mengenai perkembangan rancangan mewujudkan Sistem Saraan Transformatif (SST) bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia, Ali berkata proses penyediaan SST yang meliputi 81 skim perkhidmatan pada tahap pertama dijangka selesai menjelang akhir November ini.

"Pada bulan Julai pula, kita akan menyelesaikan enam skim perkhidmatan dan bakinya akan diselesaikan kemudian. Ini merupakan satu proses yang berterusan yang akan turut meliputi kesemua 289 skim perkhidmatan apabila siap kelak.

No comments:

Post a Comment