Pakar ekonomi yang terlibat dalam penggubalan polisi semasa krisis
ekonomi 1998, Datuk Dr. Mahani Zainal Abidin meninggal dunia hari ini di
Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).
Dr. Mahani, 59, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut
Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) meninggal dunia pada kira-kira 2
petang akibat penyakit kanser.
Menurut adiknya, Adnan, jenazah akan dibawa balik ke rumah
Allahyarham di No.1, Jalan Puncak Kiara 1, Kiara View, Desa Sri
Hartamas.
Allahyarham meninggalkan suami, Hamidon Howell Miller dan seorang anak lelaki James Imran Miller.
Mahani, yang memiliki ijazah doktor falsafah (PhD) dalam ekonomi
pembangunan dari University of London pada 1992, pernah bertugas sebagai
profesor di Jabatan Ekonomi Kendalian, Universiti Malaya.
Pada 2001, beliau dilantik sebagai Ketua Pasukan Perunding Khas bagi
Globalisasi, Majlis Tindakan Ekonomi Negara dan dari 2005 hingga 2007
adalah Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Institut Pengajian Tinggi
Swasta, Kementerian Pengajian Tinggi.
Beliau adalah Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia,
Pesuruhjaya Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, Timbalan Presiden
Persatuan Ekonomi Malaysia dan anggota International Steering Committee
for the Pacific Trade & Development (PAFTAD). - BERNAMA
No comments:
Post a Comment