Tuesday, 2 July 2013

Pelantikan guru besar, pengetua berdasar penilaian

Mulai tahun depan, proses pelantikan pengetua dan guru besar akan dimantapkan lagi dengan memastikan kepimpinan berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, proses pelantikan itu akan dibuat berdasarkan latihan dan penilaian yang dilaksanakan untuk bakal pengetua dan guru besar melalui Program Kelayakan Profesional Pemimpin Pendidikan Kebangsaan (NPQEL) yang dijalankan oleh Institut Aminuddin Baki (IAB).
Beliau berkata, selain itu, penilaian akan turut dibuat berdasarkan kemampuan bakal guru besar dan pengetua melaksanakan tanggungjawab mereka, sifat kreativiti dan inovasi mereka di samping mempunyai rekod cemerlang dalam kerjaya mereka sebagai guru.
"Tahun depan, pelantikan guru besar dan pengetua adalah berdasarkan penilaian, bila ada kekosongan, jawatannya akan diisi oleh guru yang terbaik, kita akan ambil kira soal ujian dan pencapaian yang dicapai oleh guru ini berdasarkan kursus yang mereka jalani.
"Tujuan kita supaya kita menempatkan kepimpinan sekolah iaitu pengetua dan guru besar yang terbaik daripada kalangan terbaik, bermakna mereka haruslah melalui proses penilaian dari segi tahap kepimpinan dan perkara lain yang berkaitan dengan kemampuan mereka melaksanakan tanggungjawabnya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Nasional Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan ke-20 di IAB di sini hari ini.
Muhyiddin berkata ia dapat meningkatkan kualiti pendidikan negara ini selaras dengan matlamat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia di mana antara anjakan paling penting dalam pelan itu ialah keupayaan guru dan kepimpinan di sekolah.
"Kalau sekolah itu berjaya, antara faktor utama ialah daya kepimpinan di sekolah itu, iaitu pengetua dan guru besar, latihan sudah bermula tetapi proses penilaian itu akan dibuat berdasarkan kursus yang telah mereka lalui dan pencapaian yang lain," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment